PENGENALAN KURSUS

Bahasa Melayu Berbantukan Komputer (BMM3053)

Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer merupakan satu kaedah pengajaran yang disampaikan menggunakan gabungan antara komputer, pakej perisian, sistem talian dalam mengakses kemudahan internet. Penggunaan kaedah ini terutama dalam menyampaikan pengajaran dengan lebih mudah dan efektif memerlukan penggunaan aplikasi perisian komputer, mengakses maklumat melalui internet dan aplikasi persembahan elektronik seperti perisian “Power point”. Aplikasi komputer ini penting untuk tujuan menyampaikan persembahan dengan lebih menarik dan berkesan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

         Penggunaan perisian pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan komputer berkemampuan mempersembahkan maklumat dengan menarik serta menyimpan dan mengawal maklumat dengan baik. Tambahan kini perisian komputer dapat berinteraksi secara terus kepada pengguna. Kecanggihan penggunaan komputer ini mendatangkan kebaikan dan keburukan jika tidak diaplikasi secara berkesan.

       Kaedah pengajaran berbantukan komputer ini hanyalah merupakan suatu bahan bantu kepada guru dan tidak merubah fungsi guru di dalam kelas. Komputer yang digunakan sebagai bahan bantu dalam pengajaran bahasa perlu digunakan secara terancang dan pelbagai aspek hendaklah diteliti dan diambil kira untuk mencapai cita-cita murni yang diharapkan. Pengajaran berbantukan komputer perlu digunakan secara terancang dan kesesuaian perlu diteliti agar dapat meningkatkan penguasaan kemahiran komputer dan kemahiran berbahasa berbantukan komputer.

Persediaan Guru 

Persediaan guru permulaan yang mendapat didikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu pendedahan mendalam dalam aplikasi komputer dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah kelak. Sehubungan itu, IPG telah merancang suatu subjek khusus iaitu BMM3053 Pengajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer bagi membantu guru mengetahui cara mengakses maklumat terutama dalam mencari maklumat mengenai bahasa Melayu. Selain itu, pelajar didedahkan dengan cara membangunkan bahan pengajaran berbantukan komputer seperti membina blog pembelajaran, laman web, perisian persembahan Power Point, MS Publisher dan lain-lain.

         Pengetahuan pengajaran berbantukan komputer didedahkan kepada pelajar jurusan major Bahasa Melayu di semua IPG. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu berbantukan komputer ini diharapkan dapat diaplikasikan sepenuhnya oleh guru-guru dalam pengajaran mereka kerana kebanyakan kajian yang dijalankan mengenai penggunakan komputer dalam pengajaran dapat meningkatkan penguasaan kemahiran, ianya lebih efektif, membantu guru dan murid, membantu guru menjalankan aktiviti di dalam kelas, objektif yang disasarkan akan tercapai, seterusnya meningkatkan minat pelajar dan mampu dijadikan sebagai bahan rujukan yang bermanfaat kepada guru dan pelajar.

        Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer juga menyediakan pembelajaran yang konsisten dan terjamin. Kajian Zol (2001), mendapati terdapat perbezaan dalam peningkatan skor setelah pelajar menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kesimpulan

Usaha berterusan perlu digembleng oleh semua pihak dalam merealisasikan hasrat kerajaan dan Kementerian Pelajaran dalam usaha peningkatan penguasaan kemahiran berbahasa terutama bahasa Melayu. Kejayaan sesuatu kaedah pengajaran seharusnya bertunjangkan kejituan pengetahuan, komitmen yang berterusan dan mempelbagaikan pendekatan, kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran.

         Usaha mempertingkatkan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa telah, sedang dan akan diteruskan dengan giat. Ini bertujuan memberi dan meningkatkan pengetahuan dalam kalangan generasi pelajar bagi persediaan masa depan dalam arus globalisasi teknologi maklumat.

        Selaras dengan hasrat murni kerajaan untuk menggalakkan penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran, diharapkan para guru mengambil peluang ini untuk meningkatkan kemahiran penggunaan komputer untuk diaplikasikan ke dalam kaedah pengajaran mereka.

       Pengajaran Bahasa Berbantukan Komputer wajar dijadikan suatu kaedah pengajaran kerana kaedah ini dilihat mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, aktif, kreatif, menarik, efektif seterusnya akan mencapai objektif yang disasarkan.

1 comment:

  1. Halaman ini tidak sepatutnya kosong. Buat pengenalan tentang kursus

    ReplyDelete